Info tambahan Modul 1
Badan Perakaunan muka surat 8
Badan Profesional Perakaunan yang lain
1. Institute of Chartered Accountants in Scotland
Institute of Chartered Accountants in Scotland (ICAS) adalah badan perakaunan profesional yang pertama di dunia. ICAS bertindak sebagai pengawal selia industri, mengawasi ahli dan firmanya serta mewakili firma di seluruh dunia dalam pelbagai isu berkaitan bidang perakaunan, kewangan dan perniagaan.
2. Institute of Chartered Accountants in England and Wales
Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) adalah suatu badan profesional yang ditubuhkan pada tahun 1880. ICAEW mempunyai keahlian yang terdiri daripada akauntan berkanun dan pelajar ICAEW. Badan profesional ini berfungsi melatih dan membangun potensi ahli supaya mereka mempunyai pengetahuan dan nilai untuk membantu membina ekonomi tempatan dan global yang lestari, bertanggungjawab dan adil.
3. Institute of Chartered Accountants in Ireland
Institute of Chartered Accountants in Ireland ditubuhkan di bawah Piagam Diraja Ireland pada tahun 1888. Badan profesional ini telah menjadi ahli Persekutuan Akauntan Antarabangsa sejak tahun 1977. Kini, Institute of Chartered Accountants in Ireland dianggotai oleh 28,500 anggota (pada Mac 2021) di seluruh dunia dengan peranan utama memberi pendidikan, menyokong dan membangun profesion perakaunan.
4. Institute of Chartered Accountants in Australia & New Zealand Chartered Accountants (CA ANZ)
Institute of Chartered Accountants in Australia telah bergabung dengan New Zealand Society of Chartered Accountants untuk membentuk Akauntan Bertauliah Australia dan New Zealand (CA ANZ). CA ANZ melahirkan akauntan berkanun (Chartered Accountants) dengan standard etika yang tinggi dan memberikan perkhidmatan bertaraf dunia menerusi pendidikan sepanjang hayat kepada anggota dan penyokong industri. CA ANZ turut berperanan memantau akauntan berkanun yang menawarkan perkhidmatan terus kepada orang ramai.
5. Australian Society of Certified Practising Accountants (CPA Australia)
Sejarah penubuhan Certified Practising Accountants (CPA Australia) bermula pada tahun 1886. Pada bulan Julai 1990, namanya ditukar menjadi Australian Society of Certified Practising Accountants. Kemudian pada bulan April 2000, nama badan perakaunan ini ditukar kepada CPA Australia. CPA Australia merupakan salah satu badan perakaunan terbesar di dunia dengan keahlian seramai 168,000 orang (pada Februari 2021) daripada 100 buah negara dari seluruh dunia. CPA Australia berfungsi menawarkan pendidikan, latihan dan khidmat sokongan teknikal kepada anggota.
6. Canadian Institute of Chartered Accountants (CICA)
Canadian Institute of Chartered Accountants (CICA) diperbadankan melalui Akta Parlimen Kanada pada tahun 1902. CICA berfungsi mengembang dan menyokong standard perakaunan serta pengauditan dan jaminan untuk organisasi di Kanada. Selain itu, CICA juga bertanggungjawab membangun dan menyampaikan program pendidikan serta menyediakan garis panduan profesional bagi akauntan berkanun.
7. Institute of Chartered Accountants of India
Institute of Chartered Accountants of India (ICAI) adalah badan perakaunan profesional India yang ditubuhkan pada 1 Julai 1949 di bawah Akta Akauntan Berkanun 1949. Antara fungsi ICAI adalah mengatur profesion perakaunan, menggubal standard perakaunan dan menyediakan pendidikan berterusan kepada anggota. ICAI adalah badan perakaunan dan kewangan profesional yang kedua terbesar di dunia.
